Kawan-kawan

Loading...

Bantu Anak Berjalan Dengan Cara Yang Betul


Petikan dari www.utusan.com.my 08/07/2010

MENYAKSIKAN anak mula belajar berjalan merupakan detik yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pasangan suami isteri.

Namun apa yang berlaku sebenarnya, anak itu sendiri yang memutuskan bila dia bersedia untuk membuka langkah pertama.

Paling penting ibu bapa tidak harus membandingkan keupayaan anak mereka untuk berjalan dengan anak orang lain, sebaliknya terima saja keupayaan anak itu seadanya.

Ada sesetengah anak yang mula belajar berjalan ketika memasuki usia setahun dan ada juga anak yang baru belajar untuk meluruskan kaki ketika usianya sudah mencapai 18 bulan.

Apa pun selagi bayi membesar dengan normal, ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Namun jika ingin menyedapkan hati, ibu bapa boleh bertanya atau mendapatkan pandangan doktor.

Berjalan merupakan proses yang berkaitan dengan keseimbangan, perkembangan motor dan perbuatan yang tidak terlalu tergopoh-gapah. Sesetengah bayi, dapat berdiri tegak sudah satu kejayaan baginya, manakala yang lain dapat melangkahkan satu kaki ke hadapan merupakan impian yang tidak terhenti di situ saja.

Sebenarnya terdapat beberapa cara ibu bapa oleh membantu bayi belajar berjalan. Galakkan bayi untuk berdiri dan berpapah pada perabot rumah untuk meningkatkan kestabilan dan membantunya belajar menyeimbangkan badan dengan betul.

Apabila bayi semakin yakin, dia akan memilih untuk bergerak mengelilingi perabot untuk mencapai mainan kesukaannya.

Baby walker
Alat bantuan berjalan yang mempunyai tempat duduk dan beroda ini bukan alat terbaik untuk membantu anak berjalan lebih awal.

Malah ia sebenarnya boleh menyekat perkembangan semula jadi anak untuk berjalan. Bayi yang menggunakan walker cenderung bergantung kepada alat tersebut untuk bergerak dan menyeimbangkan badan.

Keadaan ini menyebabkan otot yang diperlukan untuk berjalan tidak berkembang seperti sepatutnya.

Gunakan baby walker dengan berwaspada memandangkan setiap tahun banyak berlaku kemalangan disebabkan alat tersebut.

Kaki ayam
Alam semula jadi sebenarnya memberi kita lapik tapak kaki terbaik untuk kita mengekalkan keseimbangan badan. Memakaikan kasut pada anak yang baru cuba berjalan juga tindakan semula jadi, tetapi cuba biarkan anak terbiasa dengan permukaan yang berbeza-beza seperti rumput, karpet, kayu dan pasir. Ia akan menjadi pengalaman yang menarik dan mengujakan bagi anak.

Pegang tangan
Memegang atau memimpin tangan memang dilihat cara terbaik untuk membantu anak berjalan tetapi sebenarnya menjejaskan keseimbangannya.

Kalau mahu juga berbuat demikian cuba pegang badannya supaya tegak.

Interaksi
Satu dunia 'baru' akan terbuka apabila anak boleh berdiri dan dia akan melihat sekelilingnya dengan perspektif yang baru. Sokong keterujaan itu dengan menghabiskan lebih banyak masa bersamanya dan beri galakkan untuk dia berasa lebih yakin menggerakkan atau melangkahkan kakinya.

Dan apabila dia jatuh, ketawa bersamanya dan galakkannya untuk mencuba lagi. Anak anda akan cuba mencapai semua benda apabila dia boleh berjalan. Waktu ini mungkin anda akan 'merindui' saat-saat dia hanya berbaring di katil.

2 comments:

  1. Anak saya mula berjalan usia 11 bulan dan sehingga kini usia 24 bulan tiada masalah berjalan atau berlari. yang menjadi masalahnya ialah dia tidak suka berjalan apabila keluar dari rumah. hanya mahu berdukong. bagaimanalah agakanya cara mengatasi ye? pening memikirkan penat mendukongnya yang berat dah berbelas2 kilo bila berjalan kemana2 :(

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails