Selamatkah Botol Susu Anak?

Petikan daripada Pa&Ma, Februari 2004

Penggunaan botol susu lazim bagi kanak-kanak. Kepada yang menghisap susu ibunya, botol susu dianggap penting. Kebanyakan ibu bapa pasti akan membeli botol susu untuk penggunaan anaknya sehari-hari. Namun, selamatkah botol susu atau bekas makanan yang anda gunakan untuk keperluan anak anda itu?

1. Adakah botol susu selamat dipakai dan diperbuat daripada apa?
Kebanyakan botol susu untuk kegunaan bayi diperbuat daripada dua komponen berbeza iaitu polyethylene yang lebih dikenali dengan plastik EVA dan satu lagi ialah polycarbonate. Ia merupakan komponen dalam penggunaan botol susu yang dibenarkan pada peringkat antarabangsa dan selamat dipakai. Cuma, apabila susu (sama ada susu badan atau formula dalam botol terbabit) direbus pada kepanasan 100ΒΊ c selama 20 hingga 30 minit, ia sejenis bahan kimia yang dipanggil bisphenol A akan larut bersama susu di dalam botol terbabit.

Konfliknya, apakah ibu bapa lazimnya merebus susu sebelum memberi anak mereka minum? Inilah yang menjadi persoalan. Bagaimanapun, menurut badan antarabangsa Food and Drug Administration and Juvenile Product Manufacturer's di Amerika Syarikat, tiada rekod melaporkan bahawa kanak-kanak yang diberi minum susu menggunakan botol yang diperbuat daripada dua bahan terbabit cedera atau mengalami komplikasi.

Jurucakap badan antarabangsa ini turut menyarankan bahawa untuk memastikan keadaan selamat, susu tersebut perlulah disimpan pada kondisi suhu bilik. Untuk lebih selamat ibu bapa perlulah ingat bahawa selepas setiap kali memerah susu jangan terus disimpan di dalam botol susu plastik. Simpan susu dalam botol kaca ataupun dalam bekas pakai buang yang tidak mengandungi bahan kimia bisphenol A tersebut.

2. Saya bimbang penggunaan botol susu boleh menyebabkan anak saya sakit perut. Bagaimanakah saya boleh mengelak perkara ini daripada berlaku?
Menggunakan botol susu bagi memberi anak anda susu memiliki kelebihan dan kelemahan tertentu. Kelebihannya, anda boleh mengetahui sukatan susu yang diberikan kepada anak dan kelemahannya botol susu mungkin memiliki kuman atau bakteria tersembunyi yang boleh menyebabkan anak sakit perut dan cirit birit.

Botol susu anak perlu dibersihkan secara sempurna setiap kali digunakan. Jika anda tidak mempunyai peti sejuk anda disarankan agar membancuh susu anak di dalam botol hanya apabila perlu sahaja. Kebanyakan kanak-kanak tidak berupaya menghabiskan susu yang telah dibancuh di dalam botol, susu tersebut perlulah dibuang dan jangan disimpan lagi untuk kegunaan seterusnya. Jika digunakan lagi dibimbangkan terdapat kuman pada air liur kanak-kanak yang telah mencemari susu itu.

Sentiasa ingat bahawa susu tersebut perlulah dibuang setelah disimpan lebih daripada 24 jam. Jangan sekali-kali memanaskan susu untuk digunakan semula. Susu merupakan asas pembiakan yang sesuai bagi bakteria yang boleh menyebabkan gastroenteritis iaitu sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak.

3. Saya buntu memikirkan puting terbaik untuk diberikan pada anak. Puting jenis apakah yang terbaik?
Ada banyak jenis puting dijual di pasaran. Antaranya ialah lateks, silikon, atau getah. Puting yang diperbuat daripada lateks lebih lembut dan fleksibel tetapi ia tidak tahan lama. Selalunya, puting ini mudah koyak apabila digigit dengan kuat oleh kanak-kanak.

Puting silikon sangat kukuh dan bentuknya kekal lama. Manakala, puting getah merupakan jenis puting yang telah lama berada di pasaran. Puting ini tidak berapa lembut tetapi tahan lebih lama. Puting turut memiliki bentuknya tersendiri. Antaranya ialah puting tradisional, ortodontik dan puting berpermukaan rata. Puting ortodontik direka khas mengikut bentuk lelangit dan gusi anak. Puting ini direka bagi memastikan keselamatan anak sewaktu menghisap susu terjamin.

Jangan memberikan puting susu kanak-kanak lebih besar kepada bayi. Ini penting bagi menentukan bahawa bayi tersebut selesa dengan saiz puting yang diberikan. Belilah satu puting bagi setiap jenis atau bentuk yang ditawarkan agar anda mempunyai lebih pilihan untuk diberikan kepada anak.

4. Perlukah saya mensteril botol susu anak saya?
Ya! Anda perlu mensteril botol susu anak setiap kali sebelum memberikan susu kepada mereka. Pensetrilan yang sempurna mampu menghindarkan hampir 99 peratus kuman yang terdapat pada botol susu. Untuk mensteril anda perlu membasuh semua peralatan terlebih dahulu. Peraturan ini mesti dipatuhi selagi anda menyusukan anak anda dengan susu botol. Pada setiap kali akhir penyusuan, bilas botol dan puting susu dan ketepikan ia. Anda perlu membasuh dan mensterilkan botol tersebut serta menyediakan bancuhan baru.

Membasuh botol
1. Letakkan semua botol, puting susu, penutup, gegelang, cakera, corong dan sudu yang telah dibilas ke dalam air sabun panas. Basuh dengan sempurna.
2. Gosok bahagian dalam botol susu tersebut dengan berus botol untuk mengasingkan semua kesan susu. Gosok dengan cermat di sekeliling leher botol dan jalur skrunya.
3. Sapukan garam di bahagian dalam puting dan gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurutkan hujungnya. Tindakan ini mengasingkan kesan susu.
4. Bilas botol, puting susu, dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air yang mengalir. Gunakan pin untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.

Mensteril botol
1. Isikan bekas dengan air sejuk dan tambah pil atau cecair pensterilan. Apabila pil tersebut telah larut, letakkan peralatan ke dalamnya dengan memenuhkan botol dengan air supaya botol tidak terapung.
2. Goyang semua botol dan alatan lain ke sekeliling sehingga anda tidak melihat sebarang gelembung udara. Jika ada udara yang terperangkap, semua peralatan tidak akan menjadi steril. Tutup bekas.
3. Biarkan sehingga lebih kurang sepuluh minit. Keluarkan peralatan apabila diperlukan dan bilas dengan air mendidih. Keringkan di atas tisu atau kain bersih.
Peringatan: Letakkan puting susu secara terbalik ke dalam. Jika tidak, udara akan terperangkap dalam puting dan puting tidak akan menjadi steril.

Kaedah-kaedah lain
1. Mesin pencuci pinggan mangkuk
Ia merupakan cara mudah untuk mencuci (bukan untuk mensteril) peralatan. Caranya mudah. Cuci peralatan pada tahap kitaran panas.
2. Pensteril stim elektrik
Cepat dan menjimatkan tenaga. Namun, ia hanya untuk botol dan puting susu. Anda masih perlu mencuci semua peralatan dengan bersih terlebih dahulu.
3. Pensterilan dengan cara pendidihan
Cuci peralatan, kemudian didihkan selama 25 minit dalam semua peralatan yang terendam. Pastikan kanak-kanak tidak berada berhampiran tempat tersebut.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tanda Tanda Lelaki Subur

Jenis Makanan Yang Tak Boleh Dimakan Oleh Ibu Berpantang

UNTUK MENGELAKKAN JAUNDICE SEJAK DARI IBU MENGANDUNG