Diabetes Melitus Semasa Hamil

Apakah Diabetes Melitus?
Diabetes Mellitus adalah sejenis gangguan atau ketidakaturan yang menghalang badan dari menggunakan makanan dengan berkesan. Karbohidrat ringkas (gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan karbohidrat kompleks (kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam badan untuk membentuk glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan proses ini dikawalatur oleh insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu organ kecil yang terletak di belakang perut. Tanpa insulin, glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes melitus.

Apakah yang dimaksudkan Diabetes Mellitus semasa kehamilan?

Diabetes Mellitus (GDM) semasa kehamilan merupakan keadaan di mana kandungan gula dalam darah tinggi semasa hamil dan ia dialami oleh sesetengah wanita.

Apakah bezanya antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?
Di luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada jenis 1 (Diabetes Mellitus bersandarkan insulin, IDDM) atau jenis 2 (diabetes melitus tidak bersandarkan insulin, NIDDM). Sebanyak 10% pesakit Diabetes menghidap

Diabetes jenis IDDM. Bagi kes IDDM, insulin yang dihasilkan oleh sel b-islet di dalam pankreas adalah tidak mencukupi atau tiada langsung. Manakala bagi NIDDM, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap menjadi penyebab utama masalah ini dan pesakit NIDDM biasanya gemuk. Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit oleh berbagai-bagai hormon yang dihasilkan oleh uri. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan "human placental lactogen" akan menyekat pengeluaran insulin. Ia biasanya bermula pada pertengahan kehamilan (20-24 minggu). Semakin uri membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi. Bagi kebanyakan wanita, uri dapat menghasilkan insulin tambahan untuk mengatasi rintangan insulin. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap Diabetes kemudian nanti.

Adakah GDM kerap berlaku?
Ia berlaku sebanyak 3-12% daripada semua kehamilan.

Siapakah yang berisiko mengalami GDM?
Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya menghidapi diabetes melitus berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya. Faktor-faktor yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:
-Sejarah keluarga menghidapi diabetes.
-Wanita berumur (>35 tahun).
-Wanita gemuk dengan indeks jisim badan >30.
-Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran.
-Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar sebelumnya, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan cacat.
-Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit.

Bagaimana penyakit ini dikesan?
Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko. Sesetengah pusat rawatan menyediakan ujian saringan antara 24-28 minggu kehamilan. Namun dicadangkan anda menjalani ujian saringan glukosa (ujian kerintangan glukosa oral yang diubahsuai, MOGTT) jika terdapat faktor risiko.

Apakah ujian Tolerans Glukosa secara oral?
Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah diambil 2 jam berikutnya

Bagaimana diabetes memberi kesan ke atas kehamilan?
Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi uri.

Janin akan bertindak balas dengan menukarkan glukosa yang berlebihan kepada lemak dan bayi ini akan menjadi terlalu besar (makrosomia). Bayi yang terlalu besar akan menimbulkan kesukaran ketika pelahiran dan kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean. Sebagai tambahan kepada makrosomia, GDM akan meningkatkan risiko hipoglisemia (paras gula yang rendah di dalam darah) semasa bayi baru dilahirkan.

Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis, ketidakimbangan bahan kimia di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi. Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang. Semasa dewasa, mereka juga akan cenderung untuk menghidapi diabetes jenis 2 (diabetes yang tidak bersandarkan insulin).

Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz janin dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan janin. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, Diabetik Ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.

Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?
GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu.

Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.

Bagaimana rawatan terhadap GDM?
Langkah pertama ialah mengawal paras glukosa di dalam darah dengan pengubahsuaian diet. Senaman sederhana secara tekal juga berguna untuk memperbaiki tolerans glukosa. Jika pendekatan melalui pemakanan tidak berkesan, terapi insulin diperlukan. Paras glukosa perlu diawasi selalu jika terapi insulin telah dimulakan. Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.

Mengapa diet yang khusus disyorkan?
Diet seimbang yang berkhasiat amat perlu untuk mengekalkan kesihatan ibu yang sihat dan kehamilan yang berjaya. Bagi wanita yang mengalami GDM, diet yang sempurna dapat memastikan paras gula dalam darah adalah normal dan secara amnya ia adalah langkah pertama yang dilakukan sebelum menggunakan terapi insulin. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan yang betul untuk mengekalkan paras gula di dalam darah. Keperluan kalori setiap hari meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal sehari dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori setiap hari adalah biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses kelahiran.

Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang normal di dalam darah:
- Elakkan gula dan makanan yang tinggi kandungan gulanya (kek, aiskrim,
- Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan makanan berkanji).
- Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain).
- Memastikan diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa kulit. Elakkan makanan yang bergoreng.

Perlukah melakukan senaman?
Program senaman setiap hari dapat membantu anda merasa selesa,
mengurangkan ketegangan mahu pun mengelakkan sakit belakang, mengekalkan tona otot, kekuatan dan ketahanan. Bagi wanita yang menghidapi GDM, ia sangat penting. Selalu bersenam dapat meningkatkan keupayaan atau potensi insulin di dalam badan. Ini dapat memastikan paras normal gula di dalam darah disamping mengurangkan penggunaan insulin. Senaman yang sederhana juga dapat membantu mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan ke paras normal.

Ia sangat penting untuk mencegah paras gula yang tinggi di dalam darah. Walau bagaimanapun, penjagaan yang khusus perlu diambil untuk mengelakkan sukan atau senaman yang mungkin menyebabkan anda jatuh, atau yang melibatkan sentakan. Aktiviti berbasikal dan berjoging sebelum hamil merupakan contoh senaman yang baik untuk diteruskan semasa kehamilan. Berjalan-jalan adalah baik untuk wanita yang sebelum ini tidak aktif dan ingin mula bersenam semasa hamil. Senaman secara tekal selama 4-5 hari setiap minggu adalah perlu untuk merendahkan paras gula dalam darah. Berhenti bersenam jika anda merasa sakit, pening, sesak nafas, pitam, debaran jantung, sakit belakang atau sakit di bahagian pelvis, atau pernah mengalami pendarahan faraj.

The American College of Obstetricians & Gynecologists (ACOG) mencadangkan meminum cecair sebelum dan selepas senaman dan jika perlu, semasa sedang bersenam untuk mengelakkan dehidrasi. Terlalu kuat bersenam mungkin menyebabkan rahim dan janin tidak mendapat bekalan darah yang cukup. ACOG mengesyorkan wanita hamil mengukur kadar degupan jantung semasa melakukan aktiviti. Kadar degupan jantung ibu yang mengandung sepatutnya tidak melebihi 140 denyutan seminit.

Apakah yang berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula dalam darah?
Jika paras gula di dalam darah cenderung untuk melebihi julat normal, anda perlu mengambil suntikan insulin. Insulin tidak boleh diberi secara oral kerana ia akan dihadamkan seperti protein di dalam makanan dan menyebabkan kesan terapeutiknya hilang. Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan menggunakan jarum yang sangat halus, oleh itu anda akan merasa tidak selesa sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu dilakukan oleh anda sendiri dan anda akan diajar oleh doktor bagaimana untuk melakukannya. Jumlah insulin yang diperlukan untuk memastikan paras gula adalah dalam julat normal akan meningkat mengikut perkembangan kehamilan. Ini tidak bermakna GDM semakin teruk. Uri yang membesar seiring dengan berlanjutnya kehamilan akan menghasilkan paras hormon kontra-insulin yang lebih tinggi. Akhirnya anda memerlukan lebih insulin untuk mengatasi kesannya.

Adakah anda perlu mengambil insulin?
Ya. Ini kerana walaupun diet dijaga dengan baik, paras gula dalam darah sesetengah wanita masih tidak berada dalam julat yang boleh diterima. Wanita hamil yang bebas dari GDM jarang mempunyai paras glukosa dalam darah yang melebihi 6 mmol/l sebelum sarapan di waktu pagi atau 2 jam selepas bersarapan. Sasaran optima bagi pesakit GDM ialah mempunyai paras gula dalam darah yang sama dengan wanita yang tidak mengalami diabetes.

Jika paras gula ketika berpuasa melebihi 6 mmol/l atau jika 2 jam selepas makan, paras gula masih melebihi 8 mmol/l pada dua masa yang berasingan, terapi insulin amnya diperlukan. Keupayaan untuk melakukan sendiri pengawasan glukosa di dalam darah membolehkan terapi insulin dimulakan sebaik sahaja tanda awal paras gula yang tinggi dikesan. Dengan itu janin dapat dicegah dari terdedah kepada paras glukosa yang tinggi dalam darah ibu.

Bagaimana mengendalikan suntikan insulin?
Doktor atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin apabila rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya dilakukan di bawah kulit di bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan yang biasa ialah bahagian lengan atas (kawasan deltoid) atau di bahagian anterior peha atas. Suntikan di bahagian abdomen patut dielakkan.

Penjagaan ubat-ubatan dan jarum
Insulin mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di tempat menyimpan hasil tenusu. Jarum boleh digunakan berulang kali dengan syarat ia dibersihkan selepas digunakan dan dibuang apabila susah untuk disuntik atau apabila suntikan menyebabkan rasa sakit.

Apakah yang berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?
Paras gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi yang mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil terapi insulin untuk GDM. Ini mungkin berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau bersenam lebih dari yang biasa. Ia merupakan kes kecemasan dan perlu dirawat dengan teliti. Jika terdapat gejala hipoglisemia (kekeliruan, pening, penglihatan kabur,berpeluh, terketar-ketar, tersangat lapar) anda perlu mengambil sebarang bentuk gula dengan segera. Apabila anda menggunakan insulin, anda perlulah membawa gula atau makanan/minuman manis (kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai langkah berjaga-jaga. Doktor perlu diberitahu mengenai sebarang reaksi hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin menyebabkan pengubahsuaian terapi insulin yang anda jalani.

Apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah yang berkaitan dengan GDM?
Diet pesakit yang mengalami GDM mestilah mencukupi untuk membekalkan pemakanan yang dapat memenuhi keperluan ibu dan bayi yang sedang berkembang. Pada masa yang sama diet yang diambil boleh mengekalkan paras normal glukosa di dalam darah. Ibu yang menghidapi GDM boleh diajar caracara mengukur paras glukosa di dalam darah di rumah untuk memastikan ia berada di paras yang dibenarkan. Keupayaan pesakit untuk menentukan paras gula dalam darah melalui penggunaan peralatan merupakan satu lagi kejayaan penting dalam pengurusan penyakit diabetes. Teknik ini dikenali sebagai pemantauan sendiri glukosa di dalam darah dan ia membenarkan anda memeriksa sendiri paras gula darah sama ada di rumah atau di tempat kerja tanpa melibatkan kos dan menjimatkan masa untuk berjumpa doktor.

Apakah yang dimaksudkan pemantauan sendiri glukosa di dalam darah?
Apabila anda telah didiagnos menghidap GDM, adalah penting bagi anda mengetahui paras gula di dalam darah dari sehari ke sehari. Anda juga harus mengetahui bagaimana corak pemakanan dan cara senaman mempengaruhi paras gula di dalam darah anda. Semakin lanjut kehamilan, uri akan membebaskan lebih banyak hormon yang akan bertindak ke atas insulin. Menguji paras gula di dalam darah pada waktu tertentu dalam sehari dapat mengetahui jika diet yang sempurna dan peningkatan berat badan dapat mengekalkan paras normal gula di dalam darah atau jika insulin yang lebih diperlukan untuk melindungi janin. Pemantauan sendiri glukosa di dalam darah boleh dilakukan dengan mencucuk jari untuk mendapatkan titis darah dan disukat dengan menggunakan alat khas untuk mendapat bacaannya.

Doktor boleh menasihatkan anda bagaimana untuk mendapatkan alat ini. Anda mungkin perlu menguji darah anda beberapa kali dalam sehari. Secara amnya, ia dilakukan sebelum makan. Setiap pesakit boleh mempunyai jadual sendiri untuk tujuan pengukuran

Apakah ujian-ujian lain yang perlu diketahui?
Selain daripada ujian darah, anda juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan air kencing untuk mengesan kehadiran keton. Keton adalah hasil sampingan dari penguraian lemak. Ia boleh dijumpai di dalam darah dan air kencing akibat insulin yang tak mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda. Walaupun tidak diketahui jumlah keton yang boleh mengancam janin, keton yang banyak akan disertai dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh mengancam janin.

Sebagai langkah keselamatan, anda perlu mengawasi kehadirannya dalam air kencing dan melaporkan sebarang keputusan yang positif kepada doktor. Untuk menguji kehadiran keton di dalam air kencing, anda boleh menggunakan jalur ujian khusus yang telah dirawat dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan dengan mendedahkan sehelai jalur pakai buang pada aliran air kencing atau mencelup jalur ke dalam bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah warna bergantung kepada jumlah keton yang hadir di dalam air kencing. Warna jalur bolehlah dibandingkan pada carta untuk menunjukkan paras keton. Penasihat kesihatan boleh menasihatkan anda masa yang sesuai untuk melakukan ujian dan berapa kerap anda perlu melakukannya.

Adakah anda perlu mempunyai jadual pemeriksaan lanjutan antenatal?
Apabila anda disahkan menghidap GDM, anda dicadangkan untuk menjalani pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32 minggu dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi. Semasa pemeriksaan, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran janin. Profil gula di dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan diabetes anda.

Petikan dari http://www.edaransalindah.com

Comments

Popular posts from this blog

Tanda Tanda Lelaki Subur

Jenis Makanan Yang Tak Boleh Dimakan Oleh Ibu Berpantang

UNTUK MENGELAKKAN JAUNDICE SEJAK DARI IBU MENGANDUNG