Kawan-kawan

Apabila Anak Batuk Berkahak dan Selesema

Minggu lalu saya menyerahkan anak kedua saya Rakin Syahid kepada doktor pakar kanak-kanak di Pusat Rawan Azzaharah Bangi berikutan batuk dan selesema yang tak pulih-pulih. Rakin ditahan wad selama 3 hari 2 malam, sehingga kahak dan selesemanya benar-benar pulih. Di wad, Rakin diberi 'nebulizer', jalani fisioterapi, ubatan serta sedut kahak dan hingus. Alhamdullah selepas 4 hari Rakin pulih. Dari situ, saya dapat mempelajari teknik fisioterapi pada bayi, iaitu teknik tepuk yang betul pada bayi yang mana ia boleh membantu melegakan kahak dan selesema pada bayi.

Dipetik dari http://pmr.penerangan.gov.my/, artikel menerangkan mengenai batuk berkahak pada bayi dan suka saya kongsikan dengan pembaca blog saya mengenainya.

BATUK dan selesema adalah dua masalah yang boleh dikatakan pasti berlaku pada setiap bayi. Tidak kira musim sejuk atau panas, simptom tersebut boleh menjadi kronik kepada kesihatan bayi kerana kesukaran mereka untuk mengeluarkan kahak dan hingus boleh menjadi punca penyakit seperti bronkitis ataubrochospasm.

Saat masalah tersebut berlaku pada bayi, pasti ibu bapa akan berasa gusar kerana bayi belum mempunyai kepandaian untuk mengeluarkan kahak mahupun menghembus hingus mereka sendiri.

Sebab itulah ada ibu atau bapa yang prihatin sanggup menyedut hingus pada hidung bayi mereka kerana khuatir keadaan tersebut akan membuatkan bayi tidak selesa untuk bernafas.

Syabas kepada ibu bapa yang sanggup melakukan yang terbaik demi kesihatan anak mereka, tapi alangkah lebih bagusnya jika mereka mengetahui tentang teknik fisioterapi yang terbukti boleh memberikan bayi lebih kelegaan daripada masalah batuk dan selesema yang dihadapi.

Pakar Fisioterapi dari Pusat Perubatan Pakar Alpha, Siti Farah Aini Jamaludin berkata, bayi di bawah usia dua tahun memang kerap mengalami bronchospasm iaitu bengkak dan pengecutan dalam paru-paru.

"Simptom penyakit ini seperti batuk, demam, selesema dan sesak nafas. Penyakit ini boleh juga dialami oleh orang dewasa tapi lebih bermasalah jika ia menyerang bayi kerana mereka tidak berupaya mengeluarkan kahak sendiri," ujarnya ketika ditemui di klinik fisioterapinya di Pusat Perubatan Pakar Alpha, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Berdasar pengalamannya selama lebih tujuh tahun melakukan fisioterapi di pusat-pusat perubatan sebelum ini, kanak-kanak di bawah usia lima tahun sering berhadapan dengan masalah bronkitis atau bronkospasm.

"Ibu bapa biasanya akan merujuk anak mereka ke hospital apabila mendapati anak mereka menghadapi masalah pernafasan seperti hidung tersumbat, pernafasan berbunyi serta simptom seakan penyakit asma.

"Sebenarnya jika ibu atau bapa mempunyai sedikit ilmu fisioterapi, mereka boleh mempraktikkan kepada bayi mereka agar tidak mudah berlaku jangkitan lain terhadap bayi.

"Sebagai contoh, jika bayi mengalami hidung tersumbat dan batuk berkahak dan di rumah memang tidak mempunyai mesin sedut hingus, ibu bapa boleh mencuba teknik tepukan yang dinamakan percussion ke atas bayi mereka.

"Caranya mudah, pastikan bayi dalam posisi meniarap dan letakkan bantal di bawah perut, pastikan bantal itu tidak terlalu tebal. Kemudian condongkan sedikit posisi bantal dengan kedudukan kepala bayi ke bawah dan kaki di atas, pastikan kaki lurus.

"Ibu atau bapa pula bentukkan tapak tangan seakan cupping (lubang di tengah) dan gunakan kekuatan dari pergelangan tangan untuk menepuk perlahan di belakang bayi.

"Tepuk selama lebih kurang 15 minit dan beralih di kiri dan kanan tubuh bayi pula. Tujuan menepuk ini adalah untuk melonggarkan kahak di dalam paru-paru dan 15 minit selepas selesai menepuk, biasanya bayi akan batuk atau bersin dan sekali gus mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika tertelan, tidak mengapa kerana kahak tersebut akan keluar menerusi najis mereka," jelas Siti Farah.

Siti Farah mengingatkan ibu bapa, sebelum memulakan teknik tepukan percussion ini, pastikan anak tidak minum susu sejam atau setengah jam sebelum bagi mengelakkan muntah.


Siti Farah berkata, bayi yang kesnya dirujuk ke fisioterapi oleh doktor, biasanya akan melalui fisioterapi pada bahagian dada.

"Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor pula untuk melambatkan bakteria, manakala nebulizeradalah untuk membuka saluran pernafasan bayi yang sempit.

"Kombinasi tiga elemen iaitu ubat, nebulizer dan fisioterapi merupakan kaedah yang lazim dilakukan di hospital ke atas bayi yang menghadapi masalah tersebut," katanya.

Menurut Siti Farah lagi, apabila bayi diserahkan kepada ahli fisioterapi mereka akan dibedung dan teknik tepukan untuk melonggarkan kahak akan dibuat.

Selepas tepukan, mesin penyedut kahak akan digunakan bagi membantu bayi mengeluarkan kahak dan hingus mereka.

"Saya memang faham perasaan ibu yang menangis dan tidak sanggup melihat bayi mereka melalui prosedur tersebut. Tetapi ibu atau bapa perlu tahu, proses tersebut tidak menyakitkan ia cuma tidak selesa pada bayi dan kita sukar untuk mententeramkan bayi.

"Adakalanya juga ketika proses menyedut kahak dan hingus akan keluar bersama sedikit darah, ibu bapa jangan panik. Mereka perlu faham keadaan tersebut berlaku kerana saluran pernafasan anak terlalu sempit dan masih lembut.

"Apabila anak meronta, ia hanya akan menyebabkan kesukaran kepada bayi itu sendiri juga mendatangkan kerisauan kepada si ibu yang melihatnya," ujar Siti Farah


Lain-lain mengenai batuk kahak dan selesema klik sini

Rambut Gugur Selepas Bersalin

Rambut wanita akan gugur selepas bersalin terutama apabila usia bayi 2 bulan ke atas. Biasanya rata-rata orang mengatakan apabila bayi mula pandai main buih atau mula menyemburkan air liur, rambut kita akan gugur. Sekarang ini saya sedang pulih dari mengalami keguguran rambut yang agak teruk sebelum ini. Rakin sekarang sudah 5 bulan dan saya rasa masalah keguguran rambut saya sudah berkurangan. Merata-rata tempat ada sahaja rambut saya..di lantai, bantal, atas katil, di sikat dan paling ketara sekali dalam bilik air (bila dikumpulkan boleh dikatakan sebesar penumbuk tangan :)). Masalah ini menyebabkan rambut saya hampir botak :). Bertanyakan tuan 'google', dan saya dapat beberapa maklumat mengenainya.

Apa yang anda perlu ketahui:

* Keguguran rambut selepas bersalin adalah normal.
* Wanita mempunyai anggaran 100,000 helai rambut di atas kulit kepalanya.
* Purata 100 helai rambut gugur setiap hari.
* Pertambahan hormon estrogen semasa hamil menyebabkan rambut tumbuh dengan lebih banyak.
* Jadi semasa hamil, rambut anda biasanya lebih tebal dan lebih sihat.
* Selepas anda bersalin, paras hormon akan kembali normal.
* 2-3 bulan selepas itu anda akan mengalami keguguran rambut yang agak teruk terutamanya jika keturunan anda ada masalah botak. Teori orang-orang lama mengatakan bahawa keadaan ini mula berlaku apabila anak mula menyemburkan air liurnya.
* Keadaan ini akan berterusan selama 3-6 bulan lagi dan mungkin sehingga 9 bulan.
* Ia tidak dipengaruhi oleh penyusuan susu ibu.
* Selepas ini pertumbuhan dan keadaan rambut akan kembali kepada keadaan sebelum anda hamil.

Untuk mengurangkannya:
* Ada ibu akan mula memotong rambut selepas ini kerana rambut yang pendek sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah keguguran rambut selain daripada mudah diurus.
* Rambut ibu yang panjang mungkin boleh membelit tangan, kaki atau lain-lain anggota badan bayi membuatkan bayi berasa sakit dan tidak selesa.
* Jangan lupa, teruskan ambil makanan yang sihat dengan protin dan zat besi secukupnya.
* Anda boleh meneruskan pengambilan vitamin pranatal anda.
* Gunakan sikat lembut dan sikat rambut dengan cermat untuk mengelakkan sikat menarik rambut dengan lebih banyak. Elakkan menyikat rambut semasa rambut basah.
* Elakkan membuat rawatan menggunakan bahan kimia seperti mengerinting, mewarnakan dan sebagainya sehingga rambut kembali normal.
* Bersabarlah, kerana keadaan ini hanya sementara sahaja.
* Beritahu doktor anda jika keguguran rambut sangat serius terutamanya jika terdapat gejala lain.

Sumber:dermatology.svhm.org.au dan Postpartum hair loss, babycenter.com

Cara saya mengatasinya:
-Potong rambut lebih pendek. Rambut pendek lebih senang dijaga dan tidak membahayakan bayi. Rambut yang gugur boleh membelit bayi anda yang boleh menyebabkan kesakitan pada bayi. Dinasihatkan kerapkan menyapu/vacuum untuk membuang rambut yang gugur. Sekiranya bayi menangis tanpa sebab, pastikan samada ada rambut yang terbelit pada badan bayi.

Tips penjagaan rambut:
-Makan makanan yang seimbang.
-Amalkan minum air suam dan jus buah-buahan.

Penyusuan di Bulan Puasa

Sebelum menjelangnya Ramadhan, pelbagai persoalan menerjah ke pemikiran saya. Yang paling utama adalah 'cukupkah susu ku nanti?'. Gelabah melihat stok yang tidak seberapa banyak...'cukupkah?'. Namun saya cuba menenangkan diri dan mencari petua-petua yang berguna untuk menghadapi bulan Ramadhan.

Bolehkah ibu yang berpuasa memberi susu secukupnya kepada anak? Pasti boleh! Yang paling penting bagi saya, saya mesti yakin dan set ke dalam fikiran saya...susu saya cukup malah akan lebih. Sambil-sambil sentiasa berdoa dan berzikir..'Ya Matin', 'Matin' adalah nama Allah yang bererti 'Yang Teguh'.

Sepanjang puasa ini, saya telah mengamalkan makan sekerap yang boleh pada waktu malam. Kerana waktu malam sahaja peluang atau masa untuk kita minum dan makan. Makan makanan yang boleh menperbanyakkan pengeluaran susu juga perlu, seperti kurma, horlick, oat, susu, 'suplement', ikan, roti, keju, sayur hijau dan sebagainya.

Suka saya kongsikan jadual pemakanan saya sepanjang puasa..

Buka Puasa
3 biji kurma, nasi, lauk, sayuran, kuih muih, buah, jus/susu bersama horlick dan oat dan air masak.

9 malam
Kuih muih dan air masak.

Sebelum Tidur
Kurma, air masak, Alfafa dan vitamin-vitamin (Shaklee) dan Kalsium.

12 hingga 2 pagi
Apabila selesai menyusukan anak, saya akan minum 2 gelas air masak dan 3 biji kurma.

Sebelum sediakan sahur
Biskut/tart/kek/roti, air masak dan kurma.

Sahur
3 biji kurma, nasi, lauk, sayuran, kuih muih, buah, jus/susu bersama horlick dan oat, air masak sebanyak yang boleh dan alfafa dan vitamin-vitamin (shaklee).

Saya akan membuat pengepaman seperti biasa. Alhamdulillah, hasilnya tidak berkurang malah kadang-kadang tu bertambah. Sentiasalah berfikiran positif dan berdoa.

Kita boleh mencuba.. Allah juga yang menentukan.. =)

Tips Menjadi Ibu Bapa Terbaik

Ada sebanyak 501 tips yang diberikan oleh penulis iaitu Robert D.. Ramsey untuk mempertingkatkan potensi anak-anak anda dan seterusnya menempatkan anak-anak anda dikalangan winners. Tips ini menurut penulis jika diamalkan mampu menjadikan anak-anak. Kita sebagai winners. Penulis berpendapat apa yang membezakan antara winners dan losers Adalah mudah iaitu:- Winners percayakan diri mereka dan boleh membayangkan diri Mereka dikalangan orang yang berjaya sementara losers merasakan diri mereka tidak boleh.

Tips:-
1.Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

2.Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)

3.Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran

4.Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian,pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

5.Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan,mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

6.Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga. Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali

7.Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

8.Dengarlah cerita anak anda. Cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

9.Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya .

10.Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

11.Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

12. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

13.Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka . Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan andasuami isteri.

14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalammasa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

16.Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,

17.Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

18.Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda.

Anak Demam


Demam yang terjadi sebenarnya adalah baik, ia sebagai isyarat bahawa ada sesuatu ganguan didalam tubuh, demam juga berfungsi untuk melawan dan menyembuhkan penyakit tersebut.

Tetapi perlu diingat!!!, jika kepanasan melampau dari darjah 39 sehingga darjah 40 darjah Celsius, ini amat merbahaya kepada anak, boleh menyebabkan anak tersebut mendapat sawan atau ketegangan urat saraf dan boleh mengakibatkan menjadi lumpuh (kecacatan kekal). Suhu yang baik ketika demam ialah 38. Suhu normal tubuh ialah 37.

Jika suhu naik sampai 39-40, perlulah basahkan tuala dan lap segera badan anak dengan air agar suhunya turun dan terkawal. Bahagian yang perlu dibasahkan ialah kepala dan badan. Selepas kita lap dengan air suhu akan turun. Pakaian tebal dan stoking perlu dielakkan ketika anak demam.

Berdasarkan petikan dari http://www.susu.my. APABILA anak demam dan suhu badan meningkat mendadak, ramai ibu bapa tidak boleh tidur malam. Perasaan risau, serba salah dan bimbang bercampur aduk, apatah lagi jika berlaku pada pasangan muda yang baru menimang cahaya mata serta tidak tahu bagaimana hendak mengurangkan penderitaan si kecil. Demam adalah masalah kesihatan biasa yang berlaku pada kebanyakan kanak-kanak. Walaupun kadangkala membimbangkan, ia sebenarnya menandakan badan mereka melawan jangkitan atau keradangan yang disebabkan bakteria atau virus.

Apabila demam, sel darah putih pesakit akan cuba melawan bakteria atau virus dengan mengeluarkan bahan kimia yang menaikkan suhu badan.

Peningkatan suhu badan ini sebenarnya cara membunuh kuman, tetapi ia juga boleh menyebabkan anak anda demam.

Bagaimanapun, dalam risalah keluaran Panadol, perunding paediatrik, Dr Khoo Phaik Choo, berkata demam itu bukan satu penyakit, tetapi ia menjadi petanda atau amaran kepada penyakit lain iaitu daripada sakit tekak hinggalah kepada jangkitan demam denggi.

Ramai beranggapan lebih tinggi suhu badan, demamnya semakin berbahaya. Namun tanggapan ini kurang tepat kerana suhu tinggi tidak semestinya bermakna anak anda lebih sakit berbanding suhu lebih rendah.

“Suhu badan tidak boleh dijadikan pengukur kesakitan anak. Cara lebih tepat ialah melihat keadaan dan tindak balasnya. Jika anak anda tidak menangis, tidak banyak kerenah dan masih ada selera makan, kemungkinan mereka tidak menghadapi masalah yang perlu dirisaukan.

“Sebaliknya, masalah mungkin serius jika mereka menunjukkan tanda terlalu lesu, lemah dan tidak bermaya serta muntah secara berlebihan,” katanya.

Malah, suhu badan tinggi masih tidak dianggap demam hinggalah ia mencecah 37.5 darjah Celsius (100 darjah Farenheit) atau lebih tinggi. Suhu badan normal ialah 37 darjah Celsius (98.6ºF) dan paras ini turun naik sepanjang hari.

Katanya, suhu badan juga bergantung kepada waktu ia diambil dan kelasakan si kecil. Justeru, ibu bapa disaran menyimpan jangka suhu (termometer) di rumah supaya lebih mudah mengukur suhu badan anak dengan tepat, dan bukan berdasarkan sentuhan tangan saja.

Ukuran suhu badan anak kecil biasanya diambil di bawah lengan (ketiak) atau telinga. Ukuran suhu badan yang diambil di bawah lengan adalah 0.5 darjah lebih rendah daripada suhu yang diambil pada telinga.

Malah, ia juga perlu diukur beberapa kali untuk melihat perubahan suhu badan anak. Ukuran tepat ini dapat membantu doktor mengenal pasti masalah kesihatan anak anda jika demamnya berterusan.

Walaupun ramai ibu bapa resah apabila anak demam, ada juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada keadaan menjadi bertambah buruk atau sebaliknya sebelum memberikan ubat. Ini terpulang kepada penilaian masing-masing.

Kaedah melawan demam
Demam biasanya membuat kanak-kanak berasa resah, tidak selesa dan meragam. Jika ia berlaku, Dr Khoo menasihatkan anda melakukan kaedah di bawah untuk membuatkan anak berasa lebih selesa dengan cepat dan dapat melawan demam.

Beri si manja minum banyak air masak. Demam menyebabkan kanak-kanak banyak kehilangan air dalam badan, dan demam yang berpanjangan boleh mengakibatkan penyahidratan atau kekurangan air dalam badan.

Bantu anak untuk berasa selesa. Kanak-kanak yang demam mungkin berasa letih, lesu dan kurang selera makan. Bagaimanapun, semua ini gejala sementara dan mereka akan pulih seperti biasa sebaik demamnya sembuh. Ketika ini, pakaikan si manja dengan baju daripada fabrik nipis dan ringan yang mempunyai aliran udara baik.

Jangan paksa anak anda makan. Secara umumnya orang yang demam kurang selera makan dan ia juga berlaku pada kanak-kanak. Biarkan mereka menentukan bila dan apa yang ingin dimakan.

Timbangkan pemberian ubat. Pemberian parasetamol seperti diarahkan doktor adalah langkah selamat. Ia boleh membantu membuat kanak-kanak lebih selesa dengan mengurangkan demam dan melegakan pelbagai kesakitan atau ketidakselesaan fizikal lain yang dialaminya.

Ubat paling kerap digunakan untuk melawan demam di kalangan kanak-kanak ialah parasetamol. Oleh kerana parasetamol adakalanya disyorkan bersama antibiotik, penggunaannya menimbulkan beberapa kekeliruan.

Parasetamol ialah ubat pelega kesakitan dan berbeza daripada antibiotik dalam dua cara:

Pertama, antibiotik tidak berkesan menentang demam yang disebabkan jangkitan virus. Sebaliknya, parasetamol adalah ubat pelega kesakitan atau analgesik yang berkesan untuk menentang segala demam, walau apa pun puncanya.

Biasanya doktor tidak mengesyorkan pemberian aspirin kepada kanak-kanak kerana ia dikaitkan dengan sindrom Reye, iaitu penyakit ganjil tetapi serius yang menjejaskan otak dan hati bayi dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Kedua, ubat antibiotik yang disyorkan mesti diambil semuanya mengikut preskripsi untuk mengekalkan keberkesanannya. Tindakan tidak menghabiskan antibiotik ini boleh menghasilkan bakteria lebih berdaya tahan dan menyebabkan jangkitan berulang.

Bagaimanapun, parasetamol bukan antibiotik, jadi isu ketahanan bakteria tidak timbul. Malah, ia digunakan lebih 50 tahun, terbukti selamat, tidak merengsakan perut dan memberikan kesan konsisten.

“Kanak-kanak bukan saja kerap jatuh sakit, malah serangan biasanya berlaku tanpa diduga. Jadi, anda boleh menyimpan ubat demam seperti parasetamol di rumah untuk memudahkan anda mengurus demam anak yang boleh menyerang bila-bila masa.

“Dos yang betul bergantung kepada usia dan berat badan anak. Baca arahan pada label botol dengan teliti dan dapatkan nasihat doktor untuk memastikan dos yang betul,” katanya.

Sudu sukatan, cawan sukatan atau picagari dapat membantu memastikan anak anda mendapat jumlah ubat secukupnya. Elakkan penggunaan sudu biasa yang digunakan di rumah kerana saiznya tidak seragam.

Menjaram atau meletakkan tuala sejuk di atas dahi anak boleh mengurangkan demam. Pakaian longgar daripada fabrik yang ringan dan tuala sejuk yang diletakkan di bawah lengan atau pangkal paha boleh menyokong keberkesanan ubat menurunkan suhu badan.

Selain itu, ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa membaca label sebelum memberikan ubat pelega demam kepada anak. Label atau risalah memberi penerangan mengenai:
Kekuatan atau kepekatan produk.
Bagaimana dan bila anda patut menggunakan produk.
Berapa banyak perlu diambil dan berapa lama.
Bila anda patut mendapatkan nasihat doktor.

Cara terbaik untuk menyimpan ubat.
Meskipun demam boleh menimbulkan kebimbangan, kebanyakan kanak-kanak akan sembuh dalam sehari dua. Rehat secukupnya dan bantuan ubat, kanak-kanak boleh kembali cergas dengan cepat.

ANTARA FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI MENGENAI DEMAM

Suhu badan normal biasanya 37 darjah Celsius.

Ukuran suhu badan anak kecil biasanya diambil menerusi bawah lengan (ketiak) atau telinga. Ukuran suhu badan yang diambil di bawah lengan adalah 0.5 darjah lebih rendah daripada suhu yang diambil menerusi telinga.

Demam tinggi tidak semestinya menandakan keseriusan penyakit.

Demam dialami kanak-kanak sihat yang sembuh dalam tiga atau empat hari tidak harus menimbulkan kebimbangan
Related Posts with Thumbnails